Menurut pakar, bermain membantu perkembangan bayi dan kanak-kanak. Bayi baru lahir mampu melihat, mendengar serta berupaya mengenal bau ibunya. Lakukan aktiviti sesuai dengan usianya. Anda pasti terkejut melihat kemampuannya memberi tindak balas.
Jom ayah dan ibu sama-sama lakukan beberapa aktiviti bermain dengan si kecil bermula sejak lahir sehingga enam bulan.
NEWBORN
Perkembangan deria sentuh baru bermula. Bayi ingin merasai kelembutan. Cuba sentuhkan anak patung beruang di tangannya. Dia akan dapat merasai kelembutan.
1 BULAN
Ketika usia ini, bayi suka menendang dan membuat aksi mengayuh. Pegang kakinya dan buat geralam seperti sedang mengayuh basikal. Sambil membuat gerakan itu anda boleh menyanyi mengikut rentak kakinya. Dia akan berasa keseronokan. Secara tidak langsung ia membantu perkembangan kemahiran motor kasar bayi.
2 BULAN
Bunyi bising boleh membuatkan bayi bertindak balas mencari arah bunyian yang dihasilkan. Barang mainan yang mengeluarkan bunyi bising akan membuatkan bayi aktif dengan menggerakkankaki dan tangannya. Cara ini membantu merangsang perkembangan deria pendengarannya.
3 BULAN
Kebanyakan bayi pada usia ini sudah mampu menggerakkan tangan. Dengan menggantung objek yang bergerak ke kiri dan kanan boleh membuatkan bayi teruja untuk mencapainya. Namun pastikan objek itu ringan. Pergerakan objek itu membuatkan tangan dan mata bayi bergerak ke kanan dan kiri. Dia juga mula memberi fokus kepada objek tersebut. Alat permainan ini membantu perkembangan koordinasi tangan dan mata.
4 BULAN
Duduk bersamanya dan pegang buku yang berwarna-warni dan penuh ilustrasi. Warna-warna terang mampu menarik minatnya untuk memberi fokus dan menyentuh buku. Anda juga boleh mula memperkenalkan kad imbasan bergambar dan berwarna. Sebut perkataan yang tertera. Walaupun masih kecil tetapi bayi belajar menyerap apa yang didengari. Ia sekali gus membantu perkembangan visual dan lisannya.
5 BULAN
Bayi baru sahaja mengenal beberapa perkataan. Mungkin aktiviti menyanyi boleh membuatkan dia bertambah ceria. Baringkan bayi di atas katil, dan bertepuk tangan atau menggerakkan badan anda, dia pasti seronok.
6 BULAN
Aktiviti memperkenalkan ahli keluarga menerusi album gambar keluarga. Sebut nama mereka satu persatu. Cara ini mengajarnya mengenali wajah orang yang dekat termasuk pengasuh, kawan atau jiran anda. Ini membantunya berasa selamat apabila melihat wajah-wajah tersebut.
SUMBER : http://pama.karangkraf.com/
Add your comment